Sunday, November 23, 2014

KATA PENGANTAR ~ Mejar (B) Haji Abdul Rahman Bin Ibrahim


KATA PENGANTAR

Bismi Allahi alrrahmani alrraheem
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, salawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W., keluarganya, sahabat-sahabatnya dan seluruh umat Islam.

Buku ini adalah kumpulan transkrip kuliah Allahyarham Bapak Dr. Bagindo Muchtar, Ph.D. di Semenanjung Malaysia antara tahun 1971 hingga 1975 yang dirakam (audio) oleh Cikgu Abdul Hakim Bin Abdul Hamid (Allahyarham), Saudara Rasidoun Bin Alam dan Mejar (B) Haji Abdul Rahman Bin Ibrahim.

Kerja-kerja memindah kuliah Bapak dari versi audio ke versihuruf (transkrip) sangat mencabar kerana kualiti rakaman audio yang rendah, gaya bahasa, sebutan (diksi) serta pada waktu-waktu tertentu merujuk pula kepada aksi fizikal (body language). Namun, berkat usaha bersungguh-sungguh, terutamanya dengan bantuan Saudara Abdul Rahim Siru Bin Abdul Rahman Siru, transkrip ini berjaya dibukukan pada bulan Januari 2000, iaitu satu proses keseluruhan yang mengambil masa selama 25 tahun.

Kami menerbitkan buku yang mengandungi transkrip kuliah Bapak ini adalah semata-mata sebagai satu usaha ikhlas bagi menambah bahan rujukan kepada pengajian Ilmu Mengenal Diri yang dipelopori oleh Bapak Dr. Bagindo Muchtar. Semoga dengan penerbitannya, anak-anak didik Bapak dapat menambah serta meningkatkan lagi kefahaman terhadap ilmu yang dipelajari. Semoga nanti akan lahirlah manusia-manusia baru yang membina masyarakat baru dengan dunia baru yang aman, makmur, permai, sentosa dan bahagia.

Membaca transkrip berasaskan kuliah seperti ini memang menuntut segala kesabaran dan ketekunan, kerana Bapak menggunakan bahasa kias, tamsil dan ibarat. Justeru, kami harap agar setiap pembaca mengikutinya dengan penuh ketenangan dan minda yang terbuka luas. Jangan terburu-buru, kerana nafsu boleh membawa kepada keliru. Ilmu Mengenal Diri adalah ilmu pasti. Ilmu Mengenal Diri adalah ilmu yang bertali dengan bakti. Apabila kurang kebaktian, maka berkuranglah kefahaman. Jikalau kurang kefahaman, kembalilah kepada ketenangan. Kembalilah kepada hati yang bersih dan suci; tatkala nafsu kotor dan jahat sudah mati.

Segala usaha telah dilakukan untuk memastikan transkrip ini tepat dengan kuliah Bapak, namun oleh kerana kami juga manusiamaka wajarlah ada khilaf atau keliru. Bak kata pepatah ‘tak ada gading yang tak retak,’ begitu jugalah barangkali usaha kami. Jikalau ini yang terjadi, kami mohon keikhlasan sudi apalah kiranya tegur sapa membina demi kebenaran dan kemaafan.

Semoga Allah, Tuhan Yang Maha Esa mengizinkan rahmat dan kurnia-Nya menjadikan buku ini bermanfaat kepada sidang pembaca yang ikhlas serta pasrah semata-mata kepada-Nya, mengenal diri-nya dan terutama sekali Khaliq-nya.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah sama-sama ikut berusaha menyumbang apa sahaja bagi merealisasikan penerbitan Koleksi Kuliah Bapak Dr. Bagindo
Muchtar ini.


Mejar (B) Haji Abdul Rahman Bin Ibrahim
180, Jln Mewah 5, Tmn. Mewah II
09600 LUNAS, Kedah.
01 Ogos 2003
.

No comments:

Post a Comment